Tukar Ke Bahasa Ingggeris

Tukar Tulisan Meraah Tukar Tulisan Hitam Tukar Tulisan Kelabu   Tukar Latarbelakang Biru Tukar Latarbelakang Kebiruan

Yang Di-Pertua Negeri Melaka Kedua

TYT TUN HAJI ABDUL MALEK BIN YUSOF

(31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971)

Latar Belakang

Tun Haji Abdul Malek bin Yusuf, Dato' Maha Kurnia merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang kedua. Beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 31 Ogos 1959 dan berkhidmat selama tiga penggal.

Allahyarham Tun. Hj. Abdul Malek bin Yusuf merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga orang adik beradik. Dilahirkan pada tahun 1899 di Kampung Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan dan dibesarkan dalam kehidupan kampung.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chengkau, Negeri Sembilan pada tahun 1907 seterusnya melanjutkan pelajarannya di peringkat tinggi di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1910.

Tun Hj. Abdul Malek telah mendirikan rumahtangganya dengan Puan Khatijah bte Ahmad dan mereka dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Halimah dan Habibah. Walau bagaimanapun, isterinya telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1950. Selepas itu, beliau berkahwin dengan isteri keduanya, Toh Puan Fatimah bte Ismail pada tahun 1964. Toh Puan Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Langat dan Sekolah Melayu Kajang.

Sebagai seorang isteri kepada pemimpin tertinggi negeri, peranan Toh Puan Fatimah saling bersandaran dengan peranan suaminya sebagai seorang Yang di-Pertua Negeri. Memandangkan Tun Hj. Abdul Malek sering menjadi tetamu terhormat pada setiap masa, Toh Puan juga turut sama memainkan peranannya sebagai isteri yang sering mengiringi suaminya dalam sesebuah acara rasmi yang memerlukan kehadirannya. Sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan aktif dalam pertubuhan Wanita peringkat negeri Melaka. Beliau juga menjadi penaung Persatuan Kebajikan dan Sukarela di Melaka.

Tun juga merupakan seorang tuan rumah yang ramah mesra dan sering melayan tetamu-tetamu negeri. Pada masa inilah, Toh Puan Fatimah bersama suaminya meraikan para tetamu dengan menyajikan hidangan yang lazat yang disediakan sendiri olehnya.

Penglibatan dalam bidang sosial sememangnya tidak dapat dinafikan. Ini kerana dalam tempoh perkhidmatannya, telah banyak kemajuan dicapai khususnya pembangunan luar bandar. Dalam bidang pendidikan contohnya, Tun telah membangunkan sekolah-sekolah menengah di beberapa kawasan iaitu di Bandar Besar, Melaka, Alor Gajah dan Jasin. Ini antara lain untuk memberi pendidikan yang secukupnya kepada penduduk tempatan dan telah dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Dalam bidang pertanian, Tun amat prihatin terhadap para petani yang menghadapi masalah air bagi penanaman padi. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini termasuklah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu-isu yang berkaitan.

Dalam bidang sukan dan rekreasi, Tun Hj. Abdul Malek tidak melepaskan peluang untuk turut sama bergiat dalam bidang tersebut. Antara sukan yang pernah disertainya ialah permainan golf. Tun pernah menjadi ketua bagi pasukan negeri Melaka menentang pasukan Jemaah Menteri dan ahli-ahli diplomat yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sebagai seorang pemerintah tertinggi negeri Melaka, Tun Hj. Abdul Malek amat menitikberatkan pembangunan negeri dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Bagi mengenang jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan terhadap negara, Tun Hj. Abdul Malek telah dianugerahkan dengan beberapa darjah kebesaran. Di antaranya ialah Dato' Maha Kurnia Negeri Sembilan pada tahun 1954 dan Anugerah Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong III pada 4 Januari 1961.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Tun Hj. Abdul Malek ialah :

1917 – Penolong Pegawai Daerah Kuala Pilah

1921 – Pegawai Daerah Seremban

1922-1925 – Setiausaha di Pejabat Tanah Jelebu, Seremban, Rembau, Majlis Bandaran Seremban dan juga Pegawai Perlesenan Kenderaan Negeri Sembilan

1927-1938 – Pegawai di Pejabat Tanah Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak

1942 – Pegawai Pemungut Hasil Tanah di Kuala Lumpur

1945 – Pegawai Daerah Tampin

1946 – Memangku jawatan Hakim daerah Selangor dan Tanjung Malim, Perak. Penolong Setiausaha Sekretariat Malayan Union di Kuala Lumpur

1948-1953 – Menteri Besar Negeri Sembilan

1954 – Ahli Lembaga Perlantikan dan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam

1957-1959 – Speaker Majlis Perundangan Persekutuan (menggantikan Yang Mulia Raja Tun Uda sehingga 27 Jun)

 

 Hakcipta Terpelihara © 2012-2013 Pejabat TYT Yang Dipertua Negeri Melaka.

    Dasar Keselamatan & Privasi  |  Peta Laman | Log MasukBantuan W3C

Laman Utama YANG DI-PERTUA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA II