Tukar Ke Bahasa Ingggeris

Tukar Tulisan Meraah Tukar Tulisan Hitam Tukar Tulisan Kelabu   Tukar Latarbelakang Biru Tukar Latarbelakang Kebiruan

Yang Di-Pertua Negeri Melaka Keenam

TYT TUN DATUK SERI UTAMA MOHD KHALIL BIN YAAKOB

( 4 Jun 2004 – Kini)

Latar Belakang

Dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan,Pahang, Tun Mohd. Khalil bin Yaakob merupakan anak ketiga daripada 7 adik beradik. Menerima pendidikan awal di Sekolah Ahmad Shah, Pekan Pahang. Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tahun 1959. Di peringkat pendidikan tinggi pula, beliau meneruskan pengajian di Universiti Malaya sehingga beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1962. Beliau menjadi ketua pelajar setelah dipilih dari Majlis Perwakilan Pelajar, beliau juga telah dipilih menjadi Pengerusi untuk Persatuan Atlit Sukan Universiti. Beliau menjadi kapten untuk Pasukan Atlit Sukan Universiti untuk dua tahun. Beliau masih bergiat aktif dalam bidang sukan sehingga ke hari ini terutamanya dalam renang dan golf (Handicap 9).

Sebagai pelengkap kehidupan, Tun telah mendirikan rumahtangga dengan Toh Puan Dato' Zurina bte Kassim pada tahun 1965. Toh Puan Dato' yang lahir pada 13 Julai 1944 berasal dari Duyong, Melaka. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dan Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur. Sebagai isteri yang diplomat dan ahli politik, Toh Puan Dato' aktif dalam beberapa persatuan seperti Persatuan Iser-isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) pada tahun 1986 hingga 1999 sebagai Yang di-Pertua, Lembaga Wanita Islam sebagai Penaung dan ahli Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) pada tahun 1999. Hasil perkongsian hidup. Tun dan Toh Puan Dato' dikurniakan tiga cahaya mata, dua putera serta seorang puteri dan kini mempunyai dua orang cucu.

Meskipun sibuk dengan tugas harian, Tun Mohd Khalil masih mempunyai masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah dan rekreasi. Di antara kegiatan sukan yang digemarinya ialah berenang,golf,jet ski dan berkayak.

Tun juga merupakan seorang yang berjiwa seni. Beliau sememangnya seorang pelukis yang berbakat dan juga berminat dalam bidang muzik. Pada masa terluang, beliau juga suka pergi memancing.

Tun Mohd Khalil menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan memulakan kerjaya diplomatiknya dengan Wisma Putra padat tahun 1963. Selama lebih 12 tahun berikutnya, Tun ditugaskan sebagai diplomat ke Itali, Maghribi, Singapura dan Indonesia. Beliau juga berkursus di Lembaga Pertahanan Nasional Indonesia (LemHanas) pada tahun 1974. Pada tahun 1976 hingga 1978 pula, beliau telah menamatkan perkhidmatan luar negara dan dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka, Pahang.

Sebagai tokoh politik yang berwibawa, beliau telah bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1978 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam (dalam kawasan Parlimen Pekan). Ketika itu beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Pekan.Pada Pilihanraya Umum 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Maran.Pada tahun 1982 hingga 1983, Tun telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan kemudiannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1984 sehingga 1986

Pada tahun 1983, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO (sehingga 1999).Beliau dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Maran pada pemilihan parti 1986 dan memegang jawatan tersebut sehingga 1995. Semasa pembentukan kerajaan negeri dan selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Tajau pada Pilihanraya Umum 1986, Tun dilantik menjadi Menteri Besar Pahang. Beliau juga menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang. Pada Pilihanraya Umum 1995, beliau bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Lepar (dalam kawasan Parlimen Paya Besar) dan memenanginya dengan selesa sebelum dilantik semula sebagai Menteri Besar Pahang. Pada pemilihan jawatan parti 1995, beliau dipilih Ketua UMNO Bahagian Paya Besar.

Di bawah kepimpinan sebagai Menteri Besar, Tun telah membawa banyak kejayaan dan pembangunan kepada negeri Pahang. Antara kejayaan beliau ialah memberi keyakinan kepada pelabur asing supaya melabur di negeri Pahang dan peranan beliau sebagai penggerak kepada indistri petrokimia di kawasan perindustrian Gebeng. Bagi masyarakat luar bandar, kepimpinan beliau telah membawa kemajuan kepada mereka dalam bentuk penyediaan prasarana asas di seluruh negeri. Kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik beserta kemudahan ruang niaga dan kilang adalah untuk menambah pendapatan rakyat menerusi aktiviti ekonomi.

Setelah menyandang jawatan Menteri Besar Pahang selama 13 tahun, TYT Tun meletakkan jawatan untuk dilantik sebagai Senator dan seterusnya sebagai Menteri Penerangan pada Mei 1999 dan bertukar ke Angkasapuri , Kuala Lumpur . Perlantikan itu diumumkan serentak dengan perlantikan beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO.Pada pilihanraya Umum 1999 , TYT Tun bertanding untuk kerusi Parlimen Kuantan dan memenanginya dengan majoriti 7,361 undi. Dengan tidak memegang jawatan kanan di peringkat bahagian , beliau mencipta sejarahnya yang tersendiri sebagai satu-satunya Setiausaha Agung UMNO yang berbuat demikian.

Antara jawatan dalan bidang politik yang pernah disandang ialah Ketua UMNO Bahagian Pekan, Ketua UMNO Bahagian Maran, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO (sejak 1983), Setiausaha Agung UMNO Malaysia (1999-2004) dan Setiausaha Agung Barisan Nasional Malaysia (2003-2004). Pada tanggal, 4 Jun 2004, Tun Mohd Khalil telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang keenam sehingga kini.

Bagi mengenang jasa serta sumbang bakti beliau kepada negara dan tanah air, Tun Mohd Khalil dikurniakan pelbagai darjah kebesaran, sama ada daripada Kerajaan Persekutuan mahupun daripada Negeri-negeri. Antaranya:

S.M.N             -           Seri Maharaja Mangku Negara (Kerajaan Persekutuan)

P.S.M             -           Panglima Setia Mahkota (Kerajaan Persekutuan)

D.U.N.M         -           Darjah Utama Negeri Melaka (Negeri Melaka)

S.U.M.Z.         -           Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (Negeri Terengganu)

S.J.M.K          -           Darjah Al-Ismaili 1 (Negeri Kelantan)

S.S.A.P          -           Seri Sultan Ahmad Shah (Negeri Pahang)

S.I.M.P           -           Seri Indera Mahkota Pahang (Negeri Pahang)

S.P.D.K          -           Seri Panglima Darjah Kinabalu (Negeri Sabah)

D.P.                -           Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (Negeri Sarawak)

D.S.A.P          -           Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (Negeri Pahang)

J.S.M              -           Johan Setia Mahkota (Kerajaan Persekutuan)

S.M.P             -           Seri Mahkota Pahang (Negeri Pahang)

G.C.O.M (Ger) -         Grand Cross Of The Order Of Merit (Federal Republic Of Germany)

           

 Hakcipta Terpelihara © 2012-2013 Pejabat TYT Yang Dipertua Negeri Melaka.

    Dasar Keselamatan & Privasi  |  Peta Laman | Log MasukBantuan W3C

Laman Utama YANG DI-PERTUA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA VI