
13 Mei 2025
15 Zulkaedah 1446H
Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah mengurniakan Anugerah Tokoh Sukan 2024 kepada TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka sempena Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 yang diadakan di Subang, Selangor Darul Ehsan.
Majlis turut dihadiri YB. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, Menteri Belia dan Sukan Malaysia serta YB. Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.
Untuk rekod TYT Tun Seri Setia telah dipilih di atas kewibawaan dan ketokohan yang dijadikan contoh serta inspirasi dalam membentuk landskap dan pembangunan pengurusan sukan pada masa kini. Ini dinilai daripada dua persatuan yang dikemudikan serentak oleh TYT Tun Seri Setia iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Malaysia Karate Federation (MAKAF) yang telah membawa pelbagai kejayaan di pelbagai peringkat sehingga la menerima pengiktirafan dunia.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Olahragawan Negara 2024 kepada atlet beregu badminton kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Olahragawati Negara 2024 kepada atlet Lawn Bowl kebangsaan, Nur Farah Ain Abdullah.
Manakala anugerah-anugerah lain telah disampaikan YB. Menteri Belia & Sukan Malaysia dan YB. Timbalan Menteri antaranya Anugerah Khas, Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan, Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan, Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan, Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Olahragawati Paralimpik.
Tahniah dan syabas kepada semua penerima-penerima anugerah pada Majlis Anugerah Sukan 2024 ini.


