
26 Julai 2025
30 Muharram 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka menyempurnakan Perasmian Majlis Makan Malam Anugerah Sukan Wushu, Tarian Naga dan Singa Negeri Melaka.
Majlis Anugerah ini adalah untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada semua khususnya para atlet, jurulatih dan penggiat sukan yang telah mengharumkan nama negeri. Semoga Melaka terus melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan bukan sahaja dalam pembangunan negeri, tetapi juga dalam bidang sukan.
Untuk rekod banyak kejayaan telah dilakar oleh para atlet Wushu Melaka dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya, pada Temasya SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, pasukan kita berjaya membawa pulang 19 pingat; termasuk 9 emas. Kemudiannya pada Temasya SUKMA 2024 di Sarawak, atlet Wushu Melaka sekali lagi membuktikan keunggulan dengan mengutip 16 pingat (7 emas, 4 perak, 5 gangsa) sekali gus muncul juara keseluruhan Wushu SUKMA 2024.
Ucapan penghargaan dan terima kasih perlu diberikan kepada Persatuan Sukan Wushu, Tarian Naga dan Singa Negeri Melaka serta Majlis Sukan Negeri kerana tidak pernah jemu memajukan bidang ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pimpinan serta seluruh jawatankuasa yang berusaha tanpa mengenal lelah merancang melatih dan melaksanakan program sukan secara konsisten. Setiap persatuan sukan perlulah ditadbir dengan cekap, telus dan penuh integriti kerana tanggungjawab ini adalah amanah yang besar untuk membina masa depan sukan negeri.
Turut berlangsung acara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pelbagai pihak. Semoga pemeteraian ini akan memberi impak besar kepada pembangunan platform sukan di peringkat negeri dan negara.
TYT Tun Seri Setia turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Olahragawan kepada Tan Zhi Yan dan Anugerah Olahragawati kepada Tan Cheong Min.
Tahniah kepada semua pemenang yang akan menerima anugerah. Teruslah melangkah lebih jauh dan membawa nama Melaka ke pentas yang lebih tinggi. Kepada yang belum berjaya, jadikan ini sebagai pemangkin untuk bangkit dengan lebih hebat pada masa hadapan.
Hadir sama YB Datuk VP Shanmugam A/L V. Pitchay, EXCO Belia, Sukan dan NGO; YB Datuk Ngwe Hee Sem, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan; YB Tuan Kerk Chee Yee, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri; YB Tuan Low Chee Leon, Timbalan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YB Puan Leng Chau Yen, Timbalan EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti; YBhg. Datuk Wira Dr. Haji Nur Azmi bin Ahmad, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia; YBrs. Encik Mohd Asri bin Haji Ninggal, Pengarah Majlis Sukan Negeri dan YBhg. Datuk Wira Gan Tian Loo, Presiden Persatuan Sukan Wushu, Tarian Naga dan Singa Negeri Melaka.



