3 April 2026
14 Syawal 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyantuni masyarakat melalui penganjuran Majlis Penyerahan Kaki Palsu Cetakan 3D yang berlangsung di Surau Madrasah As Solihini, Kampung Bakar Batu.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara UTeM bersama KEDIDI Global Sdn. Bhd. sebagai pakar kaki palsu dan 3D Gens Sdn. Bhd. sebagai pakar teknologi cetakan 3D, dengan sokongan pembiayaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pada majlis tersebut, dua penerima telah menerima kaki palsu yang disesuaikan mengikut keperluan masing-masing, iaitu Encik Baharom bin Ab Rahim dan Puan Rosita binti Ahmad.
Program ini juga mengetengahkan inovasi kaki palsu berasaskan teknologi cetakan 3D yang dibangunkan hasil penyelidikan UTeM. Produk ini direka lebih ringan serta dilengkapi sistem pengudaraan bagi meningkatkan keselesaan pengguna, khususnya dalam keadaan cuaca tempatan.
Turut hadir YB Datuk Rahmad bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka; YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM; Puan Halyjah binti Muhamad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, serta pemimpin masyarakat tempatan, rakan industri dan masyarakat setempat.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan UTeM dalam memanfaatkan kepakaran teknologi kejuruteraan untuk kesejahteraan masyarakat, di samping memperluaskan aplikasi teknologi cetakan 3D dalam bidang rehabilitasi perubatan. Program seumpama ini dijangka terus memberi impak positif kepada kualiti hidup penerima serta menyumbang kepada pembangunan teknologi prostetik yang lebih inovatif pada masa hadapan.




