6 Mac 2026
16 Ramadan 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sempena Tilawah Al-Quran Antarabangsa DMDI bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kali ke-16 Tahun 1447H/2026M yang telah diadakan di Masjid As-Salimin, Jalan Kandang/Bukit Lintang, Melaka.
Dua kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori Tilawah Al-Quran (Qari) yang telah dijuarai oleh Saudara Mohammad Syaheed bin SabrI dari Pahang, Malaysia manakala Naib Johan disandang oleh Saudara Muhammad Miftah Faridl dari DKI Jakarta, Indonesia dan Tempat Ketiga disandang oleh Saudara Arif Hidayat dari Lampung, Indonesia.
Bagi kategori Kategori Tilawah Al-Quran (Qariah) pula, Johan telah dimenangi oleh Saudari Sintia Febriani dari Kalimantan Tengah, Indonesia; Naib Johan disandang oleh Saudari Ma’rifah dari Sulawesi Selatan dan Tempat Ketiga disandang oleh Saudari Sunarti Larisa dari Sulawesi Tengah, Indonesia.
TYT Tun Seri Setia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada negara-negara anggota DMDI yang telah mengambil bahagian dalam Tilawah Al-Quran Antarabangsa DMDI kali ke-16 ini serta ucapan terima kasih kepada semua urusetia dan petugas-petugas yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program yang mulia ini. Diharap usaha murni ini akan berterusan serta dapat membawa perpaduan demi kesejahteraan umat Melayu dan lslam khususnya. Semoga Majlis Tilawah ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.




