4 April 2026
15 Syawal 1447H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji 1447H/2026M di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Ketibaan TYT Tun Seri Setia disambut YB Datuk Wira Azhar bin Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YB Datuk Rosli bin Abdullah, Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi & Hal Ehwal Agama; YBhg. Tuan Haji Shamsul Bahar bin Shamsudin, Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Tabung Haji; Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Md Azhan bin Samat, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka; YBhg. Tuan Shaifulfazlee bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan YBrs. Tuan Haji Muhamad Hishamuddin bin Muhamad Sohaimi, Pengarah Negeri Melaka Lembaga Tabung Haji.
Alhamdulillah pada tahun ini seramai 1,115 orang Melaka yang telah terpilih untuk menunaikan haji bagi musim haji 1447H/2026M.
Kursus Perdana Haji merupakan kursus haji peringkat akhir yang akan diikuti oleh bakal Jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. la dilaksanakan selama satu hari setengah dengan memberi penekanan amali ibadat seperti tawaf, sa’ie, wuquf, bermalam (mabit) dan melontar. Kursus ini dilaksanakan dalam bulan Syawal di setiap negeri.
Dalam ucapan perasmian TYT Tun Seri Setia mendoakan jemaah haji mendapat manfaat dan diberikan kefahaman ilmu ibadat haji yang lengkap melalui kursus-kursus haji yang dianjurkan ini. TYT Tun Seri Setia turut menyatakan penghargaan kepada para pembimbing ibadat haji atas usaha mereka untuk menyampaikan amanah ilmu dan kefahaman dalam membimbing bakal haji sebagai persediaan untuk menunaikan haji kelak.
TYT Tun Seri Setia juga menasihatkan agar sentiasa menjaga akhlak dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah sebagai tetamu Allah serta tanamkan sifat syukur, sabar dan ketidakselesaan terutama semasa hari-hari menghadapi lautan manusia sepanjang di tanah suci nanti.
Di akhir ucapan TYT Tun Seri Setia berharap semua jemaah haji dapat menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan semasa di tanah suci. Kekalkan sikap disiplin yang tinggi dan jadilah jemaah haji contoh untuk dunia islam, seterusnya menjaga nama baik Tabung Haji dan Malaysia.
TYT Tun Seri Setia juga menyeru bakal-bakal haji untuk lebih prihatin, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain dan berdoa agar apa yang dipelajari pada kursus ini nanti akan membantu dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna dan meraih haji yang mabrur.




