YANG AMAT BERBAHAGIA TOH PUAN DATUK WIRA (DR) HAJAH ASMAH BINTI ABDUL RAHMAN

Latar Belakang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Abdul Rahman D.C.S.M., B.K.T., P.B.B. dilahirkan di Muar, Johor pada 27 November 1955. YABhg. Toh Puan merupakan anak ke lapan (8) daripada lima belas (15) orang adik beradik.

Dari tahun 1962 hingga 1967, Yang Amat Berbahagia Toh Puan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bakri Batu 2 1/2, Muar, Johor dan pada tahun 1973, YABhg. Toh Puan telah berjaya menamatkan pendidikannya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muar, Muar, Johor.

YABhg. Toh Puan telah diijabkabulkan dengan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam pada 28 April 1984 dan dikurniakan tiga (3) orang cahaya mata dua (2) lelaki dan seorang (1) perempuan iaitu Datuk Mohd Ridhwan bin Mohd Ali, Puan Wan Nadzirah binti Mohd Ali dan Encik Muhammad Hamka bin Mohd Ali.

Sebagai isteri kepada Mantan Ketua Menteri Melaka bermula Disember 1999 dan kini sebagai isteri kepada T.Y.T Yang di-Pertua Negeri Melaka, YABhg. Toh Puan aktif dalam aktiviti berpersatuan, pertubuhan dan kemasyarakatan khususnya dalam pembangunan wanita di Negeri Melaka. Antara jawatan yang disandang oleh YABhg. Toh Puan adalah seperti berikut:-
- Pengerusi Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat (BISTARI) Negeri Melaka pada tahun 1999 hingga 2013
- Timbalan (1) Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Malaysia
- Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Melaka
- Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Wanita Melaka (NCWO)
- Pengerusi Kelab Badminton Seri Murni (KBSM), Negeri Melaka
- Canselor Geomatika University College

Bersesuaian dengan peranan dan jasa bakti sebagai isteri kepada seorang Ketua Menteri, terutamanya dalam memahami peranan dan tanggungjawab suami yang berkorban masa dan tenaga demi Negeri Melaka, YABhg. Toh Puan telah dianugerahkan gelaran 'Tokoh Ibu Melaka' pada tahun 2014 melalui Anugerah Tokoh Pembangunan Wanita dan Keluarga sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan.

YABhg. Toh Puan telah dikurniakan Pingat Bakti Belia (P.B.B) oleh pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di atas sumbangan jasa dan memberi khidmat bakti kepada MGBM. Seterusnya YABhg. Toh Puan telah dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) Negeri Melaka di atas sumbangan jasa dan memberi khidmat bakti kepada Negeri Melaka melalui aktiviti berpersatuan, pertubuhan dan kemasyarakatan di Negeri Melaka. Antara sumbangan YABhg. Toh Puan, adalah berjaya mengumpulkan dana bagi membangunan Mini Stadium Bistari dan Asmavilla Bistari di Negeri Melaka. Justeru, pada tahun 2014, YABhg. Toh Puan telah dianugerahi Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira. Kesinambungan daripada sumbangan dan usaha murni dalam aktiviti pembangunan wanita dan keluarga khususnya di Negeri Melaka, pada tahun 2021 YABhg. Toh Puan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Pembangunan Wanita dan Keluarga oleh Geomatika University College.

TOP