Latar Belakang

Allahyarham Tun Hj. Abdul Aziz bin Abdul Majid memang tidak asing lagi di kalangan rakyat negara kita apatah lagi warga Melaka. Sumbangannya terhadap pembangunan dan kemajuan negeri Melaka memang tidak dapat dinafikan lagi. Tun Hj. Abd. Aziz bin Abdul Majid dilahirkan pada 10 Mac 1908 di Kajang, Selangor.

Tun Hj. Abdul Aziz telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kajang pada tahun 1920 hinggalah Allahyarham lulus Cambridge School Certificate pada tahun 1925.

Tun Hj. Abdul menamatkan zaman bujangnya pada tahun 1956 apabila bertemu jodoh dengan Yang Mulia Raja Teh Zaiton bte Raja Kamarulzaman iaitu anakanda Raja Hj. Kamarulzaman Hj. Mansor, Raja di Hilir Perak. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Mustapha Kamal, Kamarulzaman, Mansor dan Amir Hamzah.

Di luar kegiatan rasmi, Tun Hj. Abdul Aziz gemar pergi melancong. Tun pernah melawat Eropah dan Amerika termasuk Pulau Hawai dan Pulau Puerto Rico.

Selain daripada itu, Tun juga pernah menjejakkan kaki ke Mesir,India,Thailand,Jepun,Korea,Taiwan,Hong Kong,Australia dan New Zealand bagi tujuan bercuti, menghadiri persidangan mahupun membuat tinjauan ke atas negara-negara tersebut.

Seperti individu lain, Tun Hj. Abdul Aziz turut mempunyai hobinya yang tersendiri. Meskipun sibuk dengan tugas seharian, Tun sangat cintakan alam semula jadi. Beliau tidak melepaskan peluangnya untuk berekreasi dengan memancing kerana aktiviti tersebut memberi peluang kepadanya menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan.

Selain itu, Tun juga mengisi masa terluangnya dengan beriadah kerana ia dapat merehatkan fikirannya setelah sibuk bekerja sepanjang hari.

Tun Hj. Abdul Aziz memulakan kerjayanya pada tahun 1926 sebagai guru sementara sejurus selepas lulus Cambridge School Certificate. Pada masa yang sama, Allahyarham menduduki peperiksaan Perkhidmatan Pentadbiran Malayu (Malay Administrative Service) dan mendapat tempat pertama dalam peperiksaan tersebut.

Pada tanggal 3 Ogos 1926, iaitu, setelah memperoleh kejayaan dalam peperiksaan tersebut, Tun memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Kutipan Hasil Tanah sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah dan seterusnya sebagai Pegawai Daerah di negeri Selangor. Setelah berkhidmat selama 15 tahun di dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu, Tun telah dinaikkan pangkat di Malayan Civil Service pada 3 Ogos 1941.

Sewaktu British memperkenalkan Malayan Union di Tanah Malayu pada tahun 1946, Tun Hj. Abdul Aziz telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha kepada Pejabat Suruhanjaya Residen Selangor.

Pada 1 Februari 1948, telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pertama Negeri Selangor. Pada bulan Mac tahun yang sama, Allahyarham telah terpilih untuk mengikuti Kursus Pentadbiran di Oxford University, London.

Pada tahun 1949 iaitu sekembalinya dari London, Tun telah ditugaskan untuk memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan. Di peringkat negeri, Tun telah dilantik ke jawatan Pegawai Daerah di Teluk Anson. Pada 22 Januari 1952, Allahyarham dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Kuala Lumpur dan Penolong Setiausaha di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri, Bahagian Pertahanan.

Pada 15 April 1952, Tun dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan diikuti sebagai Menteri Besar Selangor pada 1 September 1954.

Tahun 1956 dan 1957, Tun mengikuti rombongan kemerdekaan di London bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan Perlembagaan. Pada tahun 1958 pula, Tun dan beberapa anggota rundingan telah pergi ke London sekali lagi untuk berbincang mengenai Perjanjian Pertahanan Malaya.

Pada Jun 1963. rombongan ke London diadakan lagi bagi membincangkan pembentukan Persekutuan Malaysia. Tun telah menjadi anggota Pasukan Perundingan Persekutuan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Selain daripada itu, Tun Hj. Abd. Aziz telah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Awam iaitu Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha Jemaah Menteri Malaysia.

Pada tahun 1963, Tun sekali lagi terpilih sebagai salah seorang anggota rombongan Tanah Melayu yang berunding dengan Pejabat Commonwealth tentang kemasukan Borneo Utara, Sarawak dan Singapura ke dalam Malaysia. Tun seterusnya menjadi ketua rombongan perundingan Persekutuan Tanah Melayu dalam Jawatankuasa antara Kerajaan untuk membincangkan syarat dan peraturan-peraturan kemasukan negeri Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan baru Malaysia.

Pada tahun 1964, Tun bersara dari jawatan yang disandangnya.Walau bagaimanapun, pada tahun yang sama, Tun sekali lagi ditugaskan untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga tahun 1971.

STATISTIK & FAKTA-FAKTA

6

JUMLAH YDP NEGERI MELAKA

13

JUMLAH DARJAH KEBESARAN YDP SEKARANG

1920+

JUMLAH JAM BEROPERASI TAHUN INI

30-65

MAKLUMBALAS PELANGGAN
PAUTAN KERAJAAN
TOP