Latar Belakang

BIODATA

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam dilahirkan di Hospital Melaka pada 24 Ogos 1949 dan merupakan Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 dan terkini sejak tahun 2020. Beliau merupakan anak kepada Mohd Rustam Ghulam Haider dan pasangannya Minah binti Musa. Zaman persekolahan beliau bermula pada tahun 1956 sehingga 1960 di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Katil, namun pada 1961 beliau telah berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Semabok. Kemudian menjelang sekitar tahun 1962 beliau telah meneruskan pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Tinggi Melaka dan seterusnya beliau telah lulus dengan cemerlang pada  peperiksaan Senior Cambridge.

Beliau berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984. Kemudian pada tahun 2011 beliau telah menyambung pengajian di peringkat  Ijazah Sarjana Sastera di Universiti Malaya (UM) dan menamatkan pengajian dengan jayanya pada tahun 2013. Pada tahun 2003, beliau telah diberi penghormatan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (Pembangunan Belia) daripada  Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) atas sumbangan dan komitmen terhadap pembangunan belia di Melaka khususnya. Seterusnya pada tahun 2011, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Pengurusan) oleh Universiti Multimedia (MMU). Terkini, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya pada 25 November 2023. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Abdul Rahman pada tahun 1985 dan dikurniakan tiga cahayamata, dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Mohd Ridhwan bin Mohd Ali, Wan Nadzirah binti Mohd Ali dan Muhammad Hamka bin Mohd Ali.

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam berpengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Lembaga Letrik Negara (LLN) (sekarang dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad - TNB) dari 1969 sehingga 1979. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Kedah antara tahun 1979 sehingga 1980. Atas kegigihan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam organisasi beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah KEMAS negeri Perlis pada tahun 1980. Antara tahun 1981 hingga 1982, beliau telah dilantik menjadi Pengarah Kemas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pada tahun 1982 hingga 1983 beliau menjadi Pengarah KEMAS Negeri Melaka. Pada tahun 1984 sehingga 1986 beliau telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka ke-6 iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Pada tahun 1986 sehingga 1990 beliau telah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar setelah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Kawasan Ayer Molek. Pada tahun 1990 hingga 1995 pula, beliau telah dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Kawasan Sungai Udang dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (EXCO) bagi portfolio Jawatankuasa Sains dan Teknologi. Selanjutnya pada tahun 1995 hingga 1998 beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan setelah dilantik sebagai Ahli Parlimen Batu Berendam dan kemudiannya dari tahun 1998 hingga 1999 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam. Pada 2 Disember 1999 beliau telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-9 dan memegang jawatan tersebut sehingga Mac 2013.

Dalam jangka waktu pentadbirannya di negeri Hang Tuah ini sejak tahun 1999, beliau telah meletakkan matlamat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah Negeri Maju menjelang 2010. Visinya terangkum dalam Visi Melaka Maju 2010 yang telah diusahakan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam semenjak awal perlantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka. Beliau adalah seorang idealis yang praktikal, berpendirian tegas, berani, cekal, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan percaya tidak ada apa yang sukar dilakukan sekiranya ada usaha yang bersungguh-sungguh. Maka tidak hairanlah sejak di bawah kepimpinan beliau Melaka telah dikenali sebagai sebuah negeri yang pesat membangun.

Profil Anugerah:

S.M.N             -           Seri Maharaja Mangku Negara (Kerajaan Persekutuan)

S.P.S.M.         -           Seri Paduka Setia Melaka (Negeri Melaka)

P.S.M.             -           Panglima Setia Mahkota (Kerajaan Persekutuan)

D.U.P.N.        -           Darjah Utama Pangkuan Negeri (Negeri Pulau Pinang)

S.P.D.K.          -           Seri Panglima Darjah Kinabalu (Negeri Sabah)

S.U.M.W.        -           Seri Utama Mahkota Wilayah (Kerajaan Persekutuan)

D.G.S.M.         -           Darjah Gemilang Seri Melaka (Negeri Melaka)

D.C.S.M.         -           Darjah Cemerlang Seri Melaka (Negeri Melaka)

D.M.S.M.        -           Darjah Mulia Seri Melaka (Negeri Melaka)

D.S.M.             -           Darjah Seri Melaka (Negeri Melaka)

P.B.M.             -           Pingat Bakti Masyarakat (Negeri Melaka)

 

TOP