30 Mei 2023
10 Zulkaedah 1444H
TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘Dari Bukit Katil Ke Istana Melaka’ : Biografi TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam di Hotel Casa del Rio Melaka.
Turut hadir YB. Datuk Wira Ibrahim bin Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka; YB. Datuk Abdul Razak bin Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya Negeri Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka; YB. Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Buku ‘Dari Bukit Katil Ke Istana Melaka’ ini menceritakan serba ringkas perjalanan kehidupan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dari sebelum sehingga menjadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang ke-7. Perjalanan kehidupan beliau diabadikan dalam buku yang menggambarkan TYT Tun Seri Setia sebagai seorang yang serba boleh.
Sesungguhnya buku ini telah membuka laluan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang susuk tubuh anak watan yang begitu gigih dan bersemangat waja dalam memaju dan memartabatkan Melaka di mata dunia. Selain itu, buku ini dapat memberi pengajaran dalam menerap nilai kepimpinan, kecekalan, kegigihan dan kewibawaan yang terdapat dalam diri TYT Tun Seri Setia untuk dijadikan pengajaran dan ikutan khususnya kepada para belia hari ini untuk terus maju ke hadapan. Oleh itu, usaha murni penerbitan buku ini wajar diberi pujian kerana ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat pelbagai peringkat di Malaysia malah juga masyarakat luar.
TYT Tun Seri Setia juga turut berbesar hati menurunkan tandatangan pada buku berkenaan yang telah diedarkan kepada jemputan-jemputan.