19 Jun 2023
30 Zulkaedah 1444H
TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka menghadiri sekaligus merasmikan Seminar ‘Kapal Mendam Berahi : Realiti atau Mitos?’ anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM).
Turut hadir YB. Datuk Zaidi bin Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya mewakili YAB Ketua Menteri Melaka; YB. Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka; YBhg. Dato’ Indera Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara dan YBhg. Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM.
Seminar ini akan berlangsung selama dua (2) hari pada 23 dan 24 Jun menghimpunkan penyelidik-penyelidik, ahli-ahli sejarah dan juga ilmuan dalam satu platform bagi mengetengah dan mengupas hasil kajian, penyelidikan serta dapatan mereka terhadap ‘Kapal Mendam Berahi’.
Seminar ini adalah selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang dibawa oleh Kementerian Perpaduan Negara bertujuan untuk merungkai persoalan terhadap isu-isu yang melibatkan kewujudan, reka bentuk mahupun fungsi Kapal Mendam Berahi ketika era kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka agar dapat diterima oleh para ilmuan dan masyarakat serta dapat dijadikan rujukan kepada generasi masa kini dan akan datang. Secara tidak langsung ianya dapat menyemai dan memupuk serta menyemarakkan semangat perpaduan melalui rasa cinta kepada negara.
Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka adalah sebuah kerajaaan yang mempunyai sistem pemerintahan yang tersusun, politik yang stabil dan merupakan sebuah pusat perdagangan yang amat penting pada abad ke-15 Masihi. Kerajaan Melaka ini meliputi sebahagian besar semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau dan Utara Sumatera. la juga merupakan sebuah pusat pendidikan dan penyebaran Agama Islam di Nusantara. Kemakmuran dan kemajuan Melaka telah mendorong kepada perkembangan dan kemajuan bidang-bidang lain seperti
pendidikan, perundangan dan sosial masyarakatnya. Turut dikatakan juga, Kerajaan Melaka mempunyai sistem pengangkutan laut yang mantap di mana
ia digarap bagi tujuan keselamatan dan perdagangan. Antara yang menjadi kebanggaan Melaka adalah armada lautnya yang dikatakan serba lengkap dan menjadi benteng keselamatan di Selat Melaka pada ketika itu.
Kapal atau Jong Mendam Berahi yang dipercayai wujud sezaman dengan Laksamana Hang Tuah ini dikatakan sebuah kapal gergasi yang pada waktu itu amat digeruni oleh pihak lawan. la berfungsi untuk menjaga keselamatan perairan Melaka dan juga untuk melaksanakan misi-misi diplomatik ke negara-negara luar seperti perdagangan dan sebagainya. Namun demikian, terdapat khalayak yang mempertikaikan kewujudan kapal ini kerana kurangnya bukti material yang boleh dirujuk.