
31 Disember 2023
18 Jamaldilakhir 1445H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman hadir menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 & Ambang Tahun Baharu 2024 yang diadakan di Pengakalan Rama, Melaka.
Ketibaan TYT Tun Seri Setia dan YABhg. Toh Puan disambut oleh YAB. Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri dan isteri YABhg. Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz; YB. Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; YB. Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka Ke-12; YB. Datuk Wira Ibrahim Durum, Speaker Dewan Undangan Negeri; YB. Datuk Wira Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri serta diiringi dengan paluan gendang daripada pelbagai kaum.
Turut hadir YB. Datuk Rais Yasin, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri; YB. Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Melaka akan menganjurkan sebanyak 70 acara pelancongan utama, selain pelbagai pengisian sepanjang 365 hari sepanjang tahun. Semua pengisian acara yang disusun pada TMM2024 mengandungi aspek agama, adat warisan, seni, budaya dan cara hidup pelbagai etnik yang terdapat di Negeri Melaka.
Bukan itu sahaja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Melaka juga bakal menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa, iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September 2025 selepas Malaysia terpilih sebagai negara hos bagi penganjuran program tersebut yang bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.
Majlis turut diserikan lagi dengan cabutan bertuah sebuah Proton X70 menanti kira-kira 40,000 pengunjung membanjiri perkarangan Dataran Pengkalan Rama.