12 Mei 2024
3 Zulkaedah 1445H
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka.
Hadir sama YABhg. Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah binti Ab Rahman, YAB Datuk Seri Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka bersama isteri; YABhg. Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia; YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat; YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat; dan YB Datuk Hajah Kalsom Nordin, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
SPB Raja Permaisuri Agong turut berkenan mengurniakan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Pn. Rahamah Mohtar, 61 tahun.
Pusat Keluarga LPPKN ini merupakan pusat keluarga keenam di Malaysia yang menyediakan pelbagai perkhidmatan keluarga dan program kesejahteraan wanita, yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh lebih 300,000 orang penduduk wanita yang berumur 15 tahun dan ke atas di negeri Melaka.
Sejak Pusat Keluarga LPPKN di Melaka beroperasi sepenuhnya pada 3 Januari 2024 lalu, ramai golongan wanita terutamanya kaum ibu di negeri ini telah menerima manfaat menerusi pelbagai program yang disediakan.
LPPKN Negeri Melaka menyasarkan 40,000 wanita termasuk kaum ibu akan menerima manfaat menerusi pelbagai program pemerkasaan golongan itu.