
8 Jun 2024
30 Zulkaedah 1445H
TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka hadir ke Majlis Makan Malam 10 Tahun Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MELSDEAF) 2024.
Turut hadir YB. Tuan VP Shanmugam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekaligus merasmikan majlis makan malam ini.
Untuk makluman, Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka atau lebih dikenali MELSDEAF telah ditubuhkan pada 18 Mac 2013. MELSDEAF adalah sebuah persatuan yang komited dalam pembangunan sukan orang pekak negeri Melaka dengan menyertai pelbagai program pembangunan sukan peringkat akar umbi bagi memastikan kesinambungan yang berterusan untuk melahirkan pewaris atlet-atlet warga OKU Pekak.
Mulai tahun 2023, MELSDEAF bergiat aktif melaksanakan Program TUNAS bertujuan mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja OKU Pekak dari peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi. Antara acara-acara sukan yang popular ialah badminton, olahraga, futsal, bola sepak dan Orienteering.
Turut berlangsung penyampaian sagu hati kepada atlet-atlet OKU Pekak Melaka yang telah berjaya meraih 1 pingat perak dan 2 gangsa di Sukan Orang Pekak Malaysia ke-21 (SOPMA XXI) Kuala Lumpur 2023 yang lepas dan seorang penerima Anugerah IKON Sukan OKU Pekak Melaka.